KISAH BERBAKTI KEPADA KEDUA IBU BAPA

NABI Sulaiman dikurniakan Allah dengan pelbagai keistimewaan bagi meyakinkan umatnya pada masa itu kepada kekuasaan dan kebesaran-Nya. Baginda bukan saja mampu berinteraksi sesama manusia, malah dengan haiwan dan jin. Inilah keistimewaan yang diberikan Allah kepada Nabi Sulaiman dalam melaksanakan misinya menyebarkan ajaran Islam kepada umatnya.

Dikisahkan, Nabi Sulaiman berkelana antara langit dengan bumi hingga tiba di satu samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, Baginda memerintahkan angin agar tenang, dan tenang pula samudera itu. Kemudian Nabi Sulaiman memerintahkan jin menyelam dalam lautan itu hingga ke dasarnya. Di situ, jin melihat sebuah kubah daripada permata putih tanpa lubang, kubah itu diangkat ke atas lautan itu dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman.
Melihat kubah tanpa lubang penuh permata dari dasar laut itu Nabi Sulaiman menjadi terlalu hairan. “Kubah apakah gerangan ini?" fikirnya. Nabi Sulaiman kemudian meminta pertolongan Allah untuk membuka tutup kubah itu. Baginda terkejut, apabila melihat seorang pemuda dalamnya.  “Siapakah kamu? Adakah kamu kelompok jin atau manusia?" tanya Nabi Sulaiman kehairanan. "Saya adalah manusia," jawab pemuda itu perlahan-lahan.  “Bagaimana engkau berada dalam keadaan begini,” tanya Nabi Sulaiman lagi. Pemuda berkenaan kemudian menceritakan riwayatnya hingga boleh tinggal dalam kubah dan berada dasar lautan. Diceritakan, ibu pemuda itu sudah dan tidak berdaya untuk bergerak. Pemuda itulah yang memapah dan mengendong ibunya ke mana saja dia pergi. Si anak selalu berbakti kepada orang tuanya dan ibunya pula tidak putus-putus mendoakannya. Antaranya, ibu itu selalu mendoakan anaknya diberi rezeki dan perasaan puas diri. Semoga anaknya ditempatkan di suatu tempat yang tidak di dunia dan tidak pula di langit. Nabi Sulaiman kemudian bertanya kepada pemuda itu: “Bagaimana kamu berbakti kepada mereka?” Pemuda itu mula bercerita: “Saya menjaga mereka hingga mereka tua.“Kedua-dua ibu bapa saya sangat taat kepada Tuhan. Sejak kecil hingga dewasa, saya dijaga dan dipelihara dengan sempurna. “Mereka selalu memohon kepada Tuhan supaya saya menjadi orang yang taat kepada perintah Allah. Ayah saya meninggal dunia pada usia tuanya dalam penjagaan saya.“Ibu saya pula lemah dan sering sakit-sakit. Matanya buta dan kakinya lumpuh. “Sayalah satu-satunya yang menjaga segala keperluannya seperti membersihkan badannya dan memandikannya. “Segala keperluan makan dan minumnya saya uruskan. “Saya menyuap makanan dan minuman ke mulutnya seperti dia suapkan saya ketika kecil.“Saya selalu bermohon kepada Tuhan. Ibu saya juga bermohon agar saya dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup ini. “Ibu saya juga bermohon kepada Tuhan agar selepas kematiannya nanti saya diberi tempat khusus yang letaknya bukan di bumi dan bukan juga di langit,” katanya. Pemuda itu meneruskan ceritanya : “Selepas ibuku meninggal dunia. saya berjalan di pantai. “Dalam perjalanan. saya melihat sebuah tempat yang diperbuat daripada permata. “Saya mendekatinya dan terbukalah pintu kubah itu. saya masuk ke dalamnya.”
Nabi Sulaiman kagum dengan cerita pemuda itu. Baginda ingin mengetahui lebih lanjut latar belakang pemuda ini. “Kamu hidup pada zaman mana?” tanya Nabi Sulaiman. Jawabnya: “Saya hidup pada zaman Nabi Ibrahim.” Nabi Sulaiman mengira-ngira berapa usia pemuda itu. Alangkah terkejutnya kerana umur pemuda itu hampir mencecah 1,400 tahun. Namun wajahnya berseri-seri, tiada uban pada rambutnya, kulitnya masih tegang.“Bagaimanakah saudara dapat merasai nikmat dan mendapat rezeki daripada Tuhan dalam kubah ini?” tanya Nabi Sulaiman.
Pemuda itu menjawab: “Selepas saya berada di sini, barulah saya tahu Tuhan telah menjadikan syurga untuk saya dalam kubah ini.” Nabi Sulaiman bertanya lagi “Tunjukkan pada saya syurga itu.”

Pemuda itu diam seketika, kemudian dia menadah tangannya memohon kepada Tuhan.
Tiba-tiba suasana kubah yang gelap itu menjadi terang-benderang indah bercahaya. Terpampang pemandangan yang begitu indah di depan Nabi Sulaiman dan tenteranya. Sungai mengalir tenang, kebun bunga yang subur, pohon merendang, kolam madu dan susu terpancar indah.
“Wahai pemuda, ini syurga! Saudara mendapat anugerah daripada Tuhan,” kata Nabi Sulaiman.
“Ini kurnia Tuhan kepada saya. Saya mendapat rezeki daripada pelbagai sumber dan buah-buahan beraneka rasa dan jenis. Semua makanan yang saya ingini terhidang,” jawab si pemuda.
Nabi Sulaiman yang dikenali boleh berjalan antara bumi dengan langit kagum dengan pemuda itu.  “Bagaimana engkau boleh hidup dalam kubah di dasar lautan itu?" tanya Nabi Sulaiman ingin mengetahui lebih lanjut. Pemuda itu menjelaskan: “Dalam kubah itu sendiri. saya tidak tahu di mana saya berada. Di langit atau di udara. “Namun, Allah tetap memberi rezeki kepadaku ketika tinggal dalam kubah itu." Nabi Sulaiman bertanya lagi: “Bagaimana Allah memberi makan kepadamu?" Pemuda itu menjawab: "Jika saya lapar, Allah menciptakan pohon dalam kubah, dan buahnya yang saya makan. “Jika saya haus, maka keluarlah air yang teramat bersih. Lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu." Nabi Sulaiman ingin mengetahui lagi: “Bagaimana engkau mengetahui perbezaan siang dan malam?" Jawab pemuda itu: “Apabila terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih. “Dari situ saya mengetahui kalau hari itu sudah siang. Apabila matahari terbenam, kubah akan menjadi gelap dan saya mengetahui hari sudah malam."
Nabi Sulaiman mendengar penerangan pemuda itu dengan penuh kagum. Baginda seolah-olah tidak mahu berhenti mendengarnya. “Cukuplah sampai di sini. Sekarang saya harus bersembahyang bagi mengadap Tuhan,” kata pemuda itu mengakhiri perbualannya.
Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah itu tertutup kembali. Pemuda itu terus tinggal dalamnya. Itulah balasan Allah terhadap seorang pemuda yang berbakti kepada kedua-dua orang tuanya.

Allah memberikan kedudukan tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak berbuat baik kepada mereka. Ini jelas diterangkan melalui firman Allah bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa." (Surah al-Isra’, ayat 23)

Berbakti kepada ibu bapa adalah berbuat baik, mentaati, melaksanakan hak, jauh daripada perilaku menyakiti hati dan kehidupan mereka. Taat kepada ibu bapa adalah amalan wajib ditunaikan setiap anak. Ketaatan itu, adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada Allah kerana taat kepada ibu bapa bererti mentaati perintah-Nya juga. Berbakti kepada ibu bapa membawa berkat. Daripada Anas bin Malik, Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali silaturahim."
SOLAT DHUHA – MURAHKAN REZEKI, MENOLAK KEPAPAAN

-Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah sembahyang sunat Dhuha.Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya: “Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya : “Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha .” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya aku segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas” (Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)
Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.
Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)
Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : ” Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani ).
Untuk mengamalkan sunat Dhuha, yang bekerja, dicadangkan mengambil wuduk di rumah. Selepas itu kita akan menaiki kenderaan dalam keadaan berwuduk ke tempat kerja dan insyaallah mendapat perlindungan Allah S.A.T semasa perjalanan. Bila sampai ke tempat kerja terus mengerjakan sembahyang Dhuha.
Adapun niat sembahyang Dhuha ialah : ” Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Taala “
Bacaan surah yang digalakkan adalah seperti berikut:
Cara1
Cara2
Cara3
Rakaat 1
Al-Syamsy
Al Dhuha
Al-Kursi 7X
Rakaat 2
Al-Laiil
An Nasr
Al-Iklas 11X
Doa’ sembahyang Dhuha ialah:
“Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindungan Mu. Ya Allah jika rezekiku masih diatas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, Keagungan, Keindahan, Kekuatan dan Kekuasaan Mu, limpahkanlah kepada hamba-hamba Mu yang saleh .”